Wednesday 28 January 2015

Kucing Balik Ke Rumah Selepas Lima Hari Dalam Kubur



MIAMI — Mungkin ada sesentengah orang mempercayai mitos kononnya kucing memiliki sembilan nyawa sekali gus mendedahkan keajaiban usia haiwan mamalia ini mampu hidup lebih lama meskipun mengalami pelbagai detik cemas.

Itulah yang berlaku di Tampa, Florida dekat sini apabila seekor kucing jantan bernama Bart dipercayai pulang semula ke rumah tuannya, Ellis Hutson, 52, selepas lima hari dikebumikan di kubur haiwan tempatan, lapor stesen televisyen Fox13.
Asalnya kucing berwarna hitam putih itu dijumpai tuannya di tepi jalan raya dalam keadaan berlumuran darah akibat dilanggar kereta lebih seminggu lalu, malah menderita trauma di kepala, patah rahang dan sebelah matanya pula hancur.
Ellis segera membawa Bart ke sebuah klinik haiwan berhampiran, namun doktor veterinar yang merawat kucing tersebut mendakwa, mamalia itu gagal diselamatkan dan terus mengisytiharkan Bart sebagai sudah pun meninggal dunia.
Sedih dengan kematian kucing kesayangannya itu, dia menanam Bart di sebuah tanah perkuburan haiwan peliharaan penduduk tetapi pada masa sama naluri lelaki itu yakin, mamalia itu akan keluar dari kubur jika umurnya masih panjang.
Jangkaan Ellis memang tepat, kucing yang dibelanya sejak kecil lagi itu tiba-tiba muncul di rumahnya dan hanya merengek manja meminta sedikit makanan kerana mungkin berasa terlalu lapar akibat terpaksa berjalan kaki agak jauh.
Petugas di Pusat Komuniti Kemanusiaan Tampa Bay yang kini merawat Bart buat sementara waktu mendakwa, kucing tersebut kemungkinan berjaya mengais tanah yang menutup tubuhnya sebelum lolos keluar dari dalam kubur.
Bart dipercayai telah bersembunyi selama beberapa hari di rumah jiran kerana ada laporan mendakwa, kucing itu dilihat merayau-rayau sebelum menguatkan semangat dirinya untuk balik semula ke kediaman Ellis. – Agensi

4 comments :